oleh Shahrizan Salian
shahrizan@bharian.com.my
2011/02/17
Harga semakin murah, fungsi mudah alih lebih hebat pengaruhi pengguna PERMINTAAN kukuh serta harga telefon pintar yang semakin murah dijangka mampu meningkatkan jualannya di negara ini kepada antara lapan sehingga sembilan juta unit tahun ini.
Pengurus Besar firma penyelidikan pasaran, GfK Malaysia, Jennifer Chan berkata, jualan telefon pintar mewakili 38 peratus daripada keseluruhan jualan telefon bimbit tahun lalu, meningkat 208 peratus berbanding 2009 serta melonjak 150 peratus dari segi nilai jualannya.
Katanya, sejak awal tahun lalu, nilai jualan telefon pintar meningkat secara konsisten setiap bulan dan pada Disember, ia sudah mewakili 72 peratus daripada jualan keseluruhan telefon bimbit di Malaysia.
“Fungsi mudah alih lebih hebat dan keperluan untuk kekal berhubung sama ada bagi tujuan kerja atau berhibur adalah antara sebab tercetus arah aliran meningkat dalam pemilikan telefon pintar,” katanya.
Selain itu, katanya, kepelbagaian tawaran produk yang ada di pasaran juga menyebabkan harga produk itu susut dengan pantas.
Pengendali telekomunikasi tempatan juga, katanya, turut memainkan peranan dengan melengkapkan telefon pintar dengan pelan data yang menjimatkan.
“Pengguna mempunyai banyak pilihan untuk sistem operasi (OS) yang ditawarkan oleh pengeluar telefon,” katanya.
Symbian kini adalah OS utama dalam pasaran telefon pintar di Malaysia tetapi pertumbuhan lebih tinggi dijangka berlaku tahun ini oleh pesaing seperti Android, Research In Motion (RIM) dan iPhone.
Telefon pintar Android dilihat menjadi pilihan pengguna sepanjang tahun lalu dengan 22 peratus yang dijual pada 2010 menggunakan platform OS berkenaan.
Sementara itu, Chan berkata, harga purata telefon pintar di Malaysia kini sedang berkurangan dengan model yang berharga kurang dari RM500 juga boleh didapati di dalam pasaran tahun lalu.
Bagaimanapun, katanya 75 peratus daripada telefon pintar di Malaysia berharga antara RM500 hingga RM1,499 dengan sumbangannya kepada jualan keseluruhan adalah 64 peratus.
“Telefon pintar adalah masa depan industri telefon bimbit. Pengguna yang semakin faham dengan arah aliran teknologi mahukan produk yang didatangkan dengan lebih banyak ciri-ciri canggih.
“Kami menjangkakan industri telefon pintar akan meneruskan arah aliran kenaikannya pada kadar dua angka yang tinggi pada 2011 dan seterusnya,” katanya.
No comments:
Post a Comment