Jan 7, 2011

Kempen miliki telefon bimbit







SISTEM telefon wanita kampung memberi peluang kepada wanita di luar bandar memiliki dan menggunakan telefon bimbit.
DENGAN sari tradisional yang berwarna-warni, sebelah tangannya memegang kotak-kotak teh herba, manakala sebelah lagi tangannya memegang sebuah telefon bimbit Nokia. Monowara Talukder tidak kelihatan seperti eksekutif perniagaan biasa.

Dalam tempoh enam tahun, Talukder telah membina empayar teh herba antarabangsa di Bangladesh dan menggaji 1,500 petani wanita. Beliau juga memperoleh tempahan berskala besar daripada rangkaian makanan kesihatan dari Barat dan mempunyai perolehan mencecah 44 juta taka (RM1.9 juta).

Beliau merupakan antara individu terawal di Bangladesh yang mendaftar untuk menggunakan khidmat tersebut selepas ia diperkenalkan di negara berkenaan pada tahun 1997. Meskipun kosnya agak tinggi, tetapi ibu kepada empat anak yang berusia 48 tahun itu dia pernah menyesal dengan pelaburannya.

"Telefon bimbit ini telah menolong banyak perniagaan. Ia benar-benar penting untuk pengedaran dan pemasaran," kata Talukder sambil meneguk secawan teh bertandatangan Tulsi atau dikenali sebagai sejenis daun ketumbar suci, di ibu negeri Bangladesh, Dhaka.

"Saya tidak mempunyai pejabat atau bilik pameran jadi orang boleh menelefon dan menempah di mana sahaja saya berada. Produk saya boleh didapati di 64 buah wilayah di Bangladesh dan menerima tempahan daripada pembeli di Australia, Kuwait dan Nepal," katanya.

Beliau sempat menunjukkan teks mesej yang diterimanya daripada sebuah syarikat di Australia yang baru sahaja membuat tempahan. "Saya pergi ke satu pameran perdagangan pada September lalu dan memasang poster-poster lengkap dengan nombor telefon mudah alih saya. Sekarang saya mendapat banyak tempahan dari luar negara," katanya.

Namun, bukan semua wanita bernasib baik seperti Talukder. Badan industri telekom GSMA berkata, wanita di Asia Selatan termasuk Bangladesh adalah 37 peratus kurang mempunyai sebuah telefon bimbit berbanding lelaki. Ia adalah satu senario jurang gender telekom terburuk di dunia.

Sikap tradisional iaitu telefon bimbit pertama keluarga harus dimiliki suami dan yang kedua kepada anak lelaki sulung, dikenal pasti sebagai sebahagian daripada sebab utama masalah itu.


TALUKDER menunjukkan paket teh yang dijualnya hingga berjaya menembusi pasaran antarabangsa.
Dalam satu percubaan untuk menyelesaikan ketidaksamaan, Mwomen, sebuah projek baru yang disokong oleh Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Hillary Clinton dan Cherie Blair, isteri bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair dilancarkan pada bulan Oktober lalu.

Mwomen bertujuan untuk mendapatkan telefon bimbit untuk kira-kira 150 juta wanita sejagat dalam tiga tahun melalui perkongsian awam swasta.

Sokongan syarikat telekomunikasi.Projek itu mendapat sokongan daripada sekurang-kurangnya 20 buah syarikat telefon bimbit utama, termasuk gergasi telekomunikasi seperti Nokia dan Vodafone. "Mengurangkan jurang perbezaan jantina melalui penggunaan telefon bimbit di Asia Selatan mewakili peluang 3.6 billion pasaran ringgit untuk industri bergerak," Trina DasGupta dari GSMA.

"Ia juga menunjukkan peningkatan 10 peratus bagi kadar penembusan telefon bimbit menyumbang kepada peningkatan dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 1.2 peratus untuk negara berpendapatan rendah kepada sederhana."

Satu lagi projek di Bangladesh ialah Telefon Kampung oleh Grameen Phone iaitu syarikat telekomunikasi yang memenangi Hadiah Nobel Grameen Bank. Grameen mewujudkan sistem telefon wanita kampung dengan memberi pinjaman membeli telefon bimbit kepada wanita luar bandar.

Setiap wanita kemudiannya memperkenalkan cara-cara menggunakan telefon kepada wanita lain di kampungnya untuk memberi peluang kepadanya mendapatkan sedikit komisen sekali gus meletakkan komuniti wanita lebih dekat dengan rangkaian telekomunikasi.

Sekurang-kurangnya 364,000 wanita telah menghubungi skim tersebut sejak ia diperkenalkan pada tahun 1997. Walaupun memilih telefon murah tetapi pengurangan kos panggilan mungkin akan membuatkan telefon itu ketinggalan zaman dan memilih telefon baru.

Rakan kongsi Mwomen, Banglalink, syarikat telefon bimbit kedua terbesar negara itu berkata, pendekatan Mwomen berjaya kerana ia menggabungkan objektif pembangunan dan keuntungan.
INISIATIF beberapa syarikat telekomunikasi gergasi berjaya menarik ramai wanita di luar bandar menggunakan telefon bimbit.
"Secara komersial, perbezaan jantina adalah satu peluang. Kami adalah pihak terdahulu yang menyasar wanita melalui kempen-kempen khusus," kata Ketua Komunikasi Banglalink, Irum Iqbal.

Pada tahun 2005, syarikat itu melancarkan program panggilan Ladies First diikuti oleh satu kempen pengiklanan berasingan menampilkan seorang wartawan wanita muda yang mendapat waktu rehat yang panjang bertindak berterima kasih kepada satu petua yang diterima melalui telefon bimbitnya. "Jelas ia adalah satu strategi perniagaan dan perhubungan kita sejak dimulakan," kata Iqbal.

Kepada Talukder, kebaikan menggunakan telefon bimbit semakin meluas di kalangan para petani wanita yang bekerja di ladangnya di daerah Gaibandhanya di utara negara itu, satu daripada daerah termiskin di Bangladesh.

"Saya cukup bangga apabila kira-kira 1,200 daripada petani wanita ini mampu memiliki telefon bimbit," katanya. - AFP

No comments:

Post a Comment